Bahasa Melayu Kedah ialah salah satu cabang Bahasa Melayu yang digunakan oleh penutur di wilayah Utara Semenanjung Malaysia. Bahasa Austronesian ini dituturkan oleh penduduk di sekitar Kedah, Pulau Pinang, bahagian utara Perak dan juga Perlis. Sebahagian masyarakat Selatan Thailand seperti Satun dan Trang juga menjadikan Bahasa Melayu Kedah sebagai bahasa perantaraan di kalangan mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Loghat atau dialek utara ini berbeza mengikut kawasan. Penduduk yang tinggal di Alor Setar, misalnya, mempunyai subdialek berlainan dengan mereka yang tinggal di Baling, Sik dan Kubor Panjang.
Jika anda mempunyai rakan atau saudara dari Kedah, mungkin anda merasakan mereka bercakap sedikit kasar dan riuh-rendah. Namun, orang Kedah sebenarnya lembut-lembut belaka dan kemeriahan jelas timbul setiap kali ada orang Kedah datang menyapa. Seorang warga Kedah yang datang boleh jadi bagaikan sepuluh orang riuhnya.
Khas untuk pembaca Iluminasi, mari kita kenali beberapa perkataan asas Kedah dan cara penggunaannya:
1. Rengau (ghe.ngau)
Maksud: cakar
Contoh ayat: Kucin tu dok tak dok tiba-tiba mai rengau ceq taksat.
(Kucing itu tidak semena-mena datang mencakar saya sebentar tadi.)
2. Nyerama (nye.gha.ma)
Maksud: berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu
Contoh ayat: Lepaih viral ja kedai coq pisang mak nakan ceq tu, semua orang pakat nyerama nak pi beli.
(Selepas tular gerai cucur pisang ibu saudara saya itu, ramai orang berebut-rebut datang ingin membeli di situ.)
3. Rabung (gha.bong)
Maksud: banyak cakap, terlalu ramah
Contoh ayat: Tak sangka laki Che Nab tu jenih rabung masuk ayaq macam kita jugak noh.
(Tak sangka suami Che Nab itu jenis banyak cakap, gila-gila macam kita juga ya.)
4. Lalu (la.lu)
Maksud: berselera
Contoh ayat: Lepaih putuih cinta dengan marka dia, Own tak lalu makan sampai serah badan dia.
(Selepas putus cinta dengan teman wanitanya, Khairul tidak berselera untuk makan sehingga kurus badannya.)
5. Rabat/Kerabat (gha.bat)
Maksud: panjat
Contoh ayat: Piah, pi tengok anak hang sat tu, takut jatuh tetomoih. Dia dok rabat ghusi cari apa tatau kat dapoq.
(Piah, pergi tengok anak awak itu, takut dia jatuh tersungkur. Dia panjat kerusi mencari entah apa barang di dapur.
6. Seregum (se.ghe.gum)
Maksud: kusut-masai
Contoh ayat: Awat hang seregum sangat nak pi inteviu ni?
(Kenapa rupa awak begitu kusut-masai untuk pergi temu duga?)
7. Dan (dan)
Maksud: sempat
Contoh ayat: Aku rasa hang tak dan la nak ligan lampu hijau sebelum kona depan tu.
(Saya rasa awak tak sempat untuk mengejar lampu hijau sebelum membelok di hadapan.)
8. Bertuh (be.ghe.toh)
Maksud: bersentuh, berlaga, berlanggar
Contoh ayat: Pa'an tu mentang dah femes masuk tv, jalan bertuh bahu dengan aku pun dia buleh buat tak kenai.
(Mentang-mentang Farhan sudah popular dan muncul di kaca TV, jalan berlanggar bahu dengan saya pun dia pura-pura tidak mengenali.)
9. Baloq liat (ba.lo' liat)
Maksud: pemalas
Contoh ayat: Hang ni baloq liat sunggoh, kira nak lena ja dari cerah sampai kelam.
(Awak ni pemalas betul, asyik tidur saja dari siang sampai ke malam.)
10. Pedo (pe.do)
Maksud: berhati-hati
Contoh ayat: Pedo sikit bawak ayaq tu, satgi tumpah jenuh nak lap.
(Berhati-hati ketika membawa air itu. Jika tumpah nanti, bersusah-payah pula untuk dilap)
11. Haring (ha.ghin)
Maksud: hancing
Contoh ayat: Hang tak cerok ayaq ka tiap kali pi bilik ayaq? Haring betui bau kencin hang.
(Awak tak simbah airkah setiap kali ke tandas? Hancing betul bau air kencing awak.)
12. Ligan (li.gan)
Maksud: kejar
Contoh ayat: Pidoih ligan kawaq tu sampai depan lau Bang Man, paihtu depa dok begomoi sampai tok pengulu mai.
(Firdaus mengejar pencuri itu sampai depan reban ayam Abang Man. Kemudian mereka bergaduh/bergusti sehingga ketua kampung sampai.)