Dengan kekayaan "mudah" yang diperolehi hasil daripada minyak dan gas, Arab Saudi sememangnya sebuah negara yang tersangat kaya. Dengan pendapatan yang begitu banyak ini, apakah yang mampu dilakukan mereka?
Apa sahaja, termasuklah membina sebuah bandar futuristik baru. Diberi nama Neom, ianya merupakan idea Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman. Perkataan "Neom" ini merupakan gabungan perkataan Greek yang bermaksud "baru" dan bahasa Arab yang bermaksud "masa hadapan".
BESARKAN TEKS A- A+
Secara ringkasnya, Neom merupakan sebuah bandar baharu yang serba moden. Apabila siap kelak, ianya bakal mempunyai keluasan bersaiz Belgium dan terletak jauh di bahagian utara Arab Saudi berhampiran dengan laut merah. Kos keseluruhan untuk pembinaannya?
Dianggarkan sekitar $500 bilion!
Bandar futuristik dan moden
Mungkin anda menyangka Neom hanyalah sekadar bandar baru umpama Putrajaya. Namun, Neom diinspirasikan untuk menjadi bandar masa hadapan dengan pelbagai perkara menarik antaranya bulan buatan, pantai yang bercahaya pada waktu malam (bayangkan pantai glow-in-the-dark) dan teksi terbang (umpama drone).
Selain itu, penduduknya juga akan memiliki kemudahan membersihkan rumah yang dilakukan oleh robot. Bandar ini juga bakal mempunyai taman tema umpama Jurassic Park dengan pelbagai persembahan animatronik.
Putera Mohammed bin Salman mengimpikan bandar Neom ini bakal menawarkan pekerjaan dengan gaji yang sangat lumayan dan akan menggantikan Silicon Valley dalam dunia teknologi, Hollywood dalam hiburan dan kawasan Riviera di Perancis sebagai tempat percutian.
Idea-idea ini disusun dan dimuatkan dalam dokumen sulit setebal 2,300 halaman oleh perunding di Boston Consulting Group, McKinsey & Co. dan Oliver Wyman yang boleh diakses oleh The Wall Street Journal dan dibincangkan dalam wawancara dengan beberapa individu yang terlibat dalam projek ini.
Dokumen tersebut yang bertarikh September 2018, memberikan gambaran yang paling terperinci mngenai perancangan bandar baru Neom dan perancangannya sejak projek ini dilancarkan pada tahun 2017.
Sewaktu projek ini diumumkan dahulu, Putera Mohammad turut menyatakan bahawa bandar ini kelak akan beroperasi secara bebas dari "kerangka pemerintahan yang ada" dengan undang-undang cukai dan buruh sendiri dan "sistem kehakiman autonomi."
Projek Enom ini merupakan inisiatif yang muncul dari Visi Saudi 2030, sebuah rancangan yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan Arab Saudi terhadap minyak, mempelbagaikan ekonominya, dan mengembangkan sektor perkhidmatan awam.
Bantahan dari orang asli penduduk tempatan
Ketika diumumkan, lokasi pembinaan Neom ini dikatakan akan dibangunkan di kawasan tanah "dara". Namun, apabila diteliti, sebahagian kawasan yang terlibat dipercayai merupakan kawasan yang menjadi tempatan tinggal orang dari suku Huwait yang mana kawasan penempatan mereka menjangkau Arab Saudi, Jordan dan semenanjung Sinai selama beberapa generasi, sebelum penubuhan negara Arab Saudi lagi.
Sudah tentulah perkara ini tidak disenangi oleh orang-orang Huwaitat, seolah-olah hak mereka dirampas oleh pemerintah. Kini, sekurang-kurangnya 20,000 anggota suku Huwaitat kini menghadapi risiko pengusiran kerana projek ini, tanpa maklumat mengenai lokasi mereka akan dipindahkan di masa depan.
"Untuk suku Huwaitat, Neom dibangun di atas darah kita, atas keringat tulang kita," kata Alia Hayel Aboutiyah al-Huwaiti, seorang aktivis yang bersuara dan anggota suku ini yang tinggal di London. "Neom jelas bukan untuk orang yang sudah tinggal di sana! Ianya untuk pelancong, orang yang mempunyai wang. Tetapi tidak bagi orang asli yang tinggal di sana.
Kematian Abdul Rahim al-Huwaiti pada 13 April merupakan kemuncak ketegangan antara suku Huwaitat dan rancangan pembangunan ini. Sebagai penduduk kota Khuraibah, dia menjadi imej bagi kritikan suku tersebut mengenai pengusiran paksa mereka, menyuarakan keluhan dalam video yang disiarkan ke media sosial. Terdapat satu rakaman tular menunjukkan dia berhadapan dengan seorang pegawai Saudi yang mengunjungi bandar itu untuk bercakap dengan penduduk.
Abdul Rahim al-Huwaiti telah membuat salah satu video terakhirnya pada pertengahan April. Dalam video itu, dia mengatakan bahawa kerajaan telah memulakan proses memindahkan orang, dimulai dengan mengintai rumah dengan tujuan untuk memindahkan orang dan mengusir mereka dari tanah mereka.
Kematian Abdul Rahim al-Huwaiti dan penangkapan 8 orang ahli suku ini meningkatkan lagi ketegangan dengan pihak kerajaan. Bagi Alia al-Huwaiti, pembunuhan Abdul Rahim dan pemindahan orang-orang Huwaitat secara paksa menggambarkan kelemahan dan diskriminasi kerajaan terhadap masyarakat suku yang telah lama dikuasai dan ditindas oleh negara itu.
Ali Shihabi, anggota lembaga penasihat Neom, walau bagaimanapun memberitahu wartawan bahawa anggota suku yang diarahkan berpindah itu akan diberi ganti rugi. Menurutnya, sudah menjadi kelaziman di Arab Saudi bahawa rakyat harus menerimanya dan biasanya melakukannya kerana pemerintah Arab Saudi memiliki tradisi untuk memberi ganti rugi yang adil.
Pengusiran penduduk dan komuniti asal di tapak pembinaan Neom adalah siri ketegangan selama bertahun-tahun antara kerajaan Arab Saudi dan suku-suku yang ditadbirnya sejak penubuhan negara Arab Saudi pada tahun 1932.
Melakukan kawalan ke atas tanah melalui projek pembinaan atau pemusnahan beberapa tapak warisan merupakan cara kerajaan Arab Saudi membuktikan mereka mempunyai kuasa ke atas kawasan ini. Pada tahun 2017, PBB mengecam pemusnahan paksa kerajaan terhadapan kawasan Awamia yang bertembok, di wilayah Qatif timur, kerana melanggar hak asasi manusia.
Kredit: