Teknik crowdfunding telah banyak membantu ramai individu dan pereka cipta untuk merealisasikan idea dan ciptaan mereka. Terdapat beberapa laman web yang membantu urusan para pereka cipta mengumpul dana daripada pengguna internet seluruh dunia antaranya Kickstarter dan Indiegogo.
Seseorang netizan yang ingin membantu melihat sesuatu idea menarik menjadi realiti kebiasaannya tidak akan keberatan untuk menyumbang dana bagi pembangunan projek atau idea tersebut. Sebagai balasan, kebiasaannya pereka cipta atau pemilik projek akan memberikan token atau hadiah saguhati kepada penyumbang dana bagi projek mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Malangnya, tidak semua idea yang dipersembahkan dalam laman web crowdfunding boleh direalisasikan. Ada yang ideanya langsung tidak logik. Namun, kerena persembahan melalui video yang begitu mengagumkan, ramai juga netizen yang kadang-kala tertipu dengan idea projek yang dipersembahkan.
Kali ini, pihak Iluminasi ingin ingin berkongsi beberapa projek crowdfunding yang adakalanya tidak masuk akal dan hanya menarik di atas kertas.
1. Triton
Jangan terkeliru, Triton bukanlah model kereta keluaran Mitsubishi sebaliknya sebuah topeng muka yang didakwa membolehkan si pemakainya bernafas di dalam air. Ketika dilancarkan di laman web Indiegogo, projek ini berjaya mengumpul dana sebanyak $900,000.
Projek ini begitu menarik memandangkan topeng ini begitu kecil, tidak seperti topeng menyelam biasa yang memerlukan si pemakai membawa bersama tangki bantuan oksigen yang cukup berat. Pemilik projek ini mendakwa Triton hanya menggunakan mikrobateri yang 30 kali lagi kecil dari pesaing, maka ramailah yang tertarik dengan idea ini.
Malangnya, Triton sangat tidak realistik. Ia sebenarnya memerlukan bateri yang cukup besar untuk mengepam sekurang-kurangnya 2 liter air sesaat bagi membolehkan cukup oksigen diperoleh untuk manusia bernafas.
2. Jalan daripada panel solar
Pada masa kini, idea-idea yang dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar sentiasa mendapat sokongan dan permintaan tinggi memandangkan orang ramai mula sedar akan kepentingan menggunakan tenaga hijau. Salah satu idea dalam kategori ini adalah penggunaan panel solar bagi menggantikan tar untuk membuat jalan.
Di laman Indiegogo, projek ini mendapat kutipan sebanyak $2.2 juta. Malangnya, projek ini sememangnya tidak begitu realistik. Lapisan jalan yang rata adalah tidak optimal untuk mengumpul cahaya bagi penjanaan tenaga solar.
Selain itu, panel solar begitu sensitif. Habuk dan kotoran akan mengurangkan kadar efisiensinya untuk mengumpul tenaga solar. Selain itu, ianya juga tidak mempunyai ketahanan yang tinggi untuk menampung berat kenderaan. Daripada ujian yang dilakukakn di laluan pejalan kaki juga menunjukkan terdapat keretakan pada panel solar yang digunakan.
3. Gajet Dragonfly Futurefon
Bergantung kepada penggunaan, seseorang individu mungkin memerlukan komputer, komputer riba, tablet ataupun telefon pintar. Menariknya, Dragonfly Futurefon didakwa sebagai sebuah gajet yang mampu memenuhi kesemua keperluan ini. Ia mampu diubah menjadi komputer, komputer riba, tablet ataupun telefon pintar.
Bagi sesetengah orang, idea ini mungkin kelihatan menarik kerena mereka tidak perlu membawa dan membeli beberapa gajet untuk kegunaan harian mereka. Malah, projek ini dikatakan berjaya mengumpul dana sekitar $700,000.
Malangnya, ia tidak praktikal. Ramai pengguna Indiegogo mengecam rekabentuk gajet ini. Rekabentuknya yang kompleks selain spesifikasi yang terlampau tinggi akan menjadikannya terlalu mahal untuk kebanyakan orang. Laman asalnya di Indiegogo juga sudah tidak dikemaskini sejak 2016 dan tidak diketahui apa nasib duit yang sudah disumbangkan.
4. Cincin Logbar
Alangkah menariknya sekiranya terdapat gajet atau alat yang membolehkan pengguna mengawal cahaya lampu, televisyen dan pelbagai perkara lagi dengan begitu mudah. Itulah yang cuba dibuat oleh Logbar, sejenis cincin yang dapat mengumpulkan dana sekitar $880,000.
Malangnya, ia mendapat kritikan daripada beberapa pihak yang skeptikal akan kemampuannya untuk memasukkan segala macam teknologi pada sebentuk cincin yang kecil. Malah, pengguna juga dikatakan perlu membuka cincin tersebut sekiranya mandi dan membasuh tangan kerana ianya tidak kalis air.
Penyumbang dana yang memperoleh cincin versi awal juga sangat kecewa kerana mendapati terdapat beberapa masalah besar pada cincin tersebut. Bukan sahaja saiznya yang besar, malah dikatakan cincin tersebut perlu disambungkan dengan aplikasi pada telefon pintar anda setiap masa.
5. Pencukur laser
Skarp Laser Razor merupakan sebuah pencukur yang tidak menggunakan bilah pisau sebaliknya hanya laser. Penggunaan laser ini dikatakan lebih selamat dan tidak meninggalkan sebarang kesan iritasi pada kulit pengguna.
Pada mulanya, pemilik projek ini cuba mengumpulkan dana sebanyak $4 juta di laman Kickstarter. Malangnya, halaman tersebut telah dibekukan kerana prototaip yang dihasilkan tidak berfungsi. Pemiliknya cuba menggunakan Indiegogo dan berjaya memperoleh dana sekitar $500,000.
Malangnya, beberapa prototaip awal yang dihasilkan tidak berjaya membuktikan kemampuannya untuk berfungsi dengan baik. Hanya beberapa helai bulu atau rambut yang berjaya dipotong. Tidak diketahui apakah nasib penyumbang dana kepada projek ini.
6. Payung daripada angin
Apabila hujan, apa yang anda buat apabila hendak keluar rumah? Ambil dan gunakan payung. Satu solusi yang sangat mudah. Namun, sebuah syarikat cuba mencetuskan idea unik untuk menghasilkan payung daripada angin. Idea ini berjaya mendapat sumbangan sekitar $102,000.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir netizen yang skeptikal dengan idea ini. Malah, penerangan yang diberikan juga tidak begitu jelas. Payung ini dikatakan hanya bertahan 15 hingga 30 minit untuk sekali cas. Malah, terdapat juga isu angin kuat yang ditembak keluar daripada batang payung ini akan terkena orang berdekatan, menjadikannya tidak praktikal untuk digunakan di kawasan ramai manusia.
Produk ini tidak pernah direalisasikan. Walaupun pemilik projek ini berjanji akan memulangkan kembali duit para penyumbang, terdapat banyak komen di laman Kickstarter yang mengatakan mereka masih belum memperoleh kembali wang mereka seperti yang dijanjikan.
7. WaterSeer
Tahukah anda, ratusan juta manusia tidak memperoleh sumber air bersih di seluruh dunia? Benar, ia merupakan antara masalah utama dunia. WaterSeer kononnya cuba memberi solusi untuk menyelesaikan masalah ini dengan membolehkan pengguna menarik keluar air dari tanah.
Projek ini berjaya mendapat sumbangan sekitar $330,000. WaterSeer didakwa berfungsi dengan hanya memeluwap wap air dari udara. Semua orang pastinya pernah melihat titisan yang terbentuk pada minuman sejuk pada hari yang panas dan WaterSeer akan menggunakan prinsip yang sama.
Setiap alat ini didakwa boleh menghasilkan 40 liter air daripada udara. Malangnya, di kawasan beriklim panas dan kering, wap air di udara adalah terhad. Ia juga memerlukan bahagian yang ditanam di bawah tanah adalah lebih sejuk daripada udara luar, keadaan yang hanya berlaku beberapa jam sahaja sehari di kebanyakan tempat.