Penjelajahan angkasa lepas sudah diketahui umum, memerlukan perbelanjaan yang besar; biasanya menggunakan peruntukan kerajaan dek skalanya.
Oleh sebab itulah bukan semua negara mampu melakukannya, dengan hanya kumpulan kecil 16 negara termasuklah agensi angkasa kumpulan negara Eropah, berani menjalankan program menjelajah angkasa.
Kita di Malaysia pun setakat ini belum benar-benar keluar menjelajah atas keupayaan sendiri, perlu bekerjasama dengan negara luar bagi menghantar satu-satunya angkasawan tunggal negara kita setakat ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Di kalangan 16 negara, tersenarai nama-nama biasa seperti Amerika Syarikat, Russia, China, Jepun dan sebagainya sudah diketahui kapasiti mereka. Dalam kalangan 16 negara ini juga, ada lima yang harus kita katakan kurang didedahkan kemampuan angkasa mereka.
1. India
Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) mencatatkan banyak sejarah penting dalam penyelidikan angkasa sejak penubuhannya tahun 1969.
ISRO telah mencapai banyak pencapaian manis, bermula dengan pelancaran satelit pertama India Aryabhata pada tahun 1975.
Kejayaan terbesar ISRO setakat ini tercatat bermula dalam tahun 2013 menerusi misi meneroka planet Marikh, menjadikan India dinobatkan agensi angkasa keempat dunia selamat mendarat di 'Planet Merah.'
ISRO dengan sokongan kerajaan India menyimpan cita-cita besar untuk membina lebih banyak pencapaian berkait penjelajahan angkasa, dengan beberapa pelan misi bulan dan perjalanan antara bintang sedang dalam pembikinan.
Selain penjelajahan angkasa, ISRO turut memainkan beberapa peranan penting dalam kemampuan komunikasi, navigasi, dan pengintipan jauh India.
Terkenal sebagai negara paling pantas melakukan inovasi dipacu jumlah tenaga mahir yang tinggi, jangan terkejutlah tak lama lagi ISRO akan tersenarai antara nama besar dalam bidang angkasa.
2. Brazil
Agência Espacial Brasileira (AEB), atau Agensi Angkasa Brazil, mempunyai sejarah yang cukup dinamik dalam penyelidikan angkasa.
Ditubuhkan tahun 1994 bagi menggerakkan usaha dan komitmen Brazil memajukan kehadiran mereka dalam ruang angkasa, AEB selamat melancarkankan pelancaran satelit pertama negara mereka SCD-1 diikuti beberapa siri satelit pemerhati Bumi, yang membantu meningkatkan keupayaan Brazil dalam sektor pertanian, alam sekitar, dan pemantauan bencana.
AEB sedang mencorakkan masa depan dan peranan Brazil dalam komuniti angkasa antarabangsa, dengan menjadikan pembangunan teknologi satelit yang lebih baik serta sains angkasa sebagai teras utama.
Komitmen AEB terhadap penyelidikan angkasa dan pembangunan teknologi penting untuk memanfaatkan sistem sosio-ekonomi dan pengurusan alam sekitar negara kuasa bola sepak itu.
3. Kenya
Agensi Angkasa Kenya (KSA) boleh dikatakan antara pemain baru dalam bidang penjelajahan angkasa. Ditubuhkan pada tahun 2017, KSA menjadi penggerak terawal negara Kenya untuk memanfaatkan faedah daripada pembangunan teknologi angkasa.
Walaupun masih dalam peringkat awal perkembangan, KSA telah menjalani kemajuan yang pesat menerusi pelancaran satelit pertama Nano-Satelit 1 (1KUNS-PF) pada tahun 2018.
Visi KSA mirip dengan Brazil, mahu memanfaatkan penggunaan teknologi angkasa untuk pelbagai tujuan, seperti pertanian, pengurusan bencana, dan pemantauan alam sekitar.
Hasrat besar Kenya menerusi KSA dilihat bukan saja mahu menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam bidang angkasa, malah mahu meletakkan Kenya sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan angkasa benua Afrika.
KSA berhasrat mahu menggunakan kepakaran mereka dalam bidang angkasa bagi membantu bukan saja mereka bahkan keseluruhan penduduk benua Afrika, menjalani potensi transformasi teknologi angkasa untuk kemajuan ekonomi dan masyarakat.
4. Korea Utara
Korea Utara walaupun terkenal sebagai sebuah negara kuasa nuklear, baru saja menubuhkan agensi bidang angkasa, iaitu Pentadbiran Pembangunan Aeroangkasa Nasional (NADA) pada tahun 2013.
Walaupun pada dasarnya Korea Utara menyifatkan penubuhan NADA dibentuk bagi membolehkan penjelajahan angkasa berlaku tanpa berkait sentimen ketenteraan, banyak pihak skeptikal dan melihat NADA hanyalah satu bentuk penyamaran Korea Utara dalam mengembangkan teknologi peluru berpandu yang mampu merentasi benua.
Kejayaan terbesar NADA bermula lebih awal pada tahun 2012 apabila mereka berjaya melancarkan satelit Kwangmyŏngsŏng-3 Unit 2, setelah satelit pertama yang dilancarkan iaitu Kwangmyŏngsŏng-3 gagal mencapai sasaran orbit selepas pelancaran.
Visi Korea Utara untuk program angkasanya diselubungi pelbagai sentimen negatif, khususnya daripada pihak yang kurang mempercayai hasrat dan tujuan sebenar negara ini menyertai program angkasa lepas, biasanya berkait dengan sifat dwiguna program tersebut.
Walaupun sering dilihat dalam sentimen buruk, wujud juga pendapat mengatakan minat kerajaan Korea Utara dalam bidang ini, boleh membawa kepada usaha untuk menjernihkan hubungan diplomasi antara negara, sekiranya Korea Utara dan negara-negara lain dapat menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa.
5. Iran
Agensi Angkasa Iran (ISA) yang ditubuhkan pada tahun 2004, telahpun menjadi pemain penting dalam usaha penjelajahan angkasa di Asia Barat.
Pencapaian ISA yang paling terkenal melibatkan pelancaran satelit-satelit tempatan seperti satelit Omid pada tahun 2009 dan satelit Rasad pada tahun 2011.
Tidak ramai yang tahu sejak tahun 2010, ISA telah berjaya menghantar beberapa makhluk hidup seperti monyet, kura-kura dan tikus untuk mengkaji tindakbalas makhluk tersebut dalam situasi berbeza.
Visi ISA selain gemar menghantar makhluk hidup ke angkasa, adalah untuk memajukan teknologi Iran dalam bidang komunikasi, pemerhatian bumi dan pengurusan bencana.
Seperti Korea Utara, niat Iran dalam bidang ini tetap berdepan sentimen negatif. Walaupun begitu, Iran tetap mara biarpun berdepan sekatan antarabangsa dan ketegangan geopolitik, mengejar hasrat menjadi pemimpin serantau dalam teknologi dan penjelajahan angkasa.